Sinopsis Biar Mereka Cemburu

Mengisahkan tentang Tengku Eidil (Aiman Hakim Ridza) yang merupakan pengarah kreatif di sebuah syarikat pengiklanan terkemuka dan sedang bercinta dengan Marsha Gordon (Rubini Sambanthan). Namun, detik hatinya untuk berubah ke arah ukhrawi membawanya jauh dari rancangan untuk berkahwin dengan Marsha. Nadia (Nabila Razali) ialah seorang penghantar makanan untuk sebuah kedai makan yang dimiliki oleh kawan baiknya, Rostam (Izzat Mushtaq). Dalam masa yang sama, Nadia turut menyimpan hasrat untuk bergelar jurufoto profesional.

Takdir menemukan mereka berdua apabila pada suatu petang semasa sedang menghantar makanan, Nadia berhenti di tepi jalan dan Eidil terlanggar lopak air lalu menyebabkan ia terkena pada Nadia tanpa sengaja.

Nadia yang degil dan ceria pada luarannya sebenarnya menyimpan beban dan kesedihan yang hanya mampu dipendam kerana tertekan dengan kesibukan kerja demi mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan keluarganya di kampung semenjak bapanya dipenjarakan angkara Nadia sendiri.

Eidil juga tidak kurangnya, keadaan di rumahnya berantakan kerana adik tirinya Fetri yang sering bermasalah. Fetri mencemburui dan berdendam dengan Eidil kerana dia juga mencintai Marsha pada masa yang sama.

Eidil mula mendekati Nadia kerana tertarik dengan perwatakannya. Sedikit sebanyak Eidil semakin banyak berubah ke arah yang lebih baik, seperti yang diharapkan oleh bapanya Tengku Alauddin (Shah Rezza).

Walaupun cuba untuk mengelak dari Eidil, Nadia terkejut apabila kursus fotografi yang dihadirinya rupanya diketuai oleh Eidil yang juga merupakan seorang jurufoto terkenal. Marsha pula semakin gilakan Eidil dan mula menyiasat tentang Eidil dan Nadia. Sedikit demi sedikit rahsia kehidupan Rostam yang sudah lama mencintai Nadia mula berasa cemburu pada Eidil, namun dia akur yang dia perlu meraih cinta Nadia dengan cara yang adil.